TIADA kecederaan luaran dikesan pada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang maut ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di kampus Shah Alam. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kematian mangsa berpunca daripada kegagalan pelbagai organ akibat strok haba. "Kejadian itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan. Jelasnya, bapa mangsa dimaklumkan anaknya pengsan semasa latihan kawad dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan pada 10 November. "Hasil siasatan polis mendapati si mati menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak penghujung Oktober 2024 dan kini sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas Palapes bermula pada tahun 2025. "Pada hari kejadian, si mati didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian. Si mati dilihat melompat-lompat sebelum terjatuh rebah," katanya lagi. Semasa rawatan di wad kecemasan hospital, pelajar itu berada dalam keadaan separuh sedar dan mengalami suhu badan yang tinggi. ARTIKEL BERKAITAN: Kematian pelatih Palapes: UiTM pandang serius kejadian, teliti semula prosedur latihan "Rawatan awal diberikan dalam usaha untuk hidrasi si mati namun tidak memberikan tindak balas positif. Si mati mengalami kekejangan dan rawatan susulan diberikan sebelum si mati dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Shah Alam. Tiada terkesan sebarang kecederaan luaran pada badan si mati. "Si mati disahkan meninggal dunia pada 13 November 2024," menurut kenyataan itu lagi. Polis merekodkan keterangan sembilan saksi, termasuk bapa mangsa, yang membuat laporan polis pada 15 November, katanya. Terdahulu, media melaporkan mengenai kematian seorang pelatih Palapes UiTM pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual. Bapa pelatih berkenaan mendakwa kejadian itu membabitkan penderaan secara fizikal. Bapa mangsa dilaporkan mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya. Susulan laporan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan akan mendapatkan laporan penuh daripada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut. Selain itu, pihak pengurusan UiTM dalam satu kenyataan berkata mereka menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube