LAPAN rakyat Malaysia, termasuk seorang doktor, memfailkan saman berjumlah RM60 juta terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian disebabkan oleh vaksinasi Covid-19. Plaintif, berusia antara 26 dan 77 tahun, menfailkan writ saman menerusi firma guaman Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu. Selain Anwar dan WHO, mereka turut menamakan 23 defendan lain. Defendan lain terdiri daripada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan, kerajaan dan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. Selain itu, defendan turut melibatkan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad serta menteri sebelumnya Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan menteri sebelumnya Hamzah Zainudin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan menteri sebelumnya Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa, dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah. Menurut pernyataan tuntutan itu, sebahagian plaintif mengalami kesan buruk berikutan imunisasi sendiri, manakala ada yang kehilangan orang tersayang, kononnya akibat komplikasi kesihatan selepas menerima vaksin. Dua daripada plaintif adalah anak-anak kepada ibu bapa masing-masing yang meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan yang mereka dakwa disebabkan oleh dos Sinovac dan dos penggalak Pfizer. Seorang lagi plaintif merupakan pekerja yang mendakwa mengalami strok, kesukaran bercakap, dan masalah untuk berjalan seperti biasa sehingga memerlukan tongkat selepas mematuhi arahan kerajaan untuk menerima dua dos vaksin Pfizer. Seorang lagi plaintif ialah tukang urut wanita yang mendakwa dirinya sihat sebelum menerima satu dos vaksin Pfizer. Dia mendakwa mengalami muntah dan sakit kepala yang kronik, serta mengalami kesakitan seluruh badan mengalami kesakitan dan terketar selepas menerima satu dos berkenaan, dan kini perlu menggunakan kerusi roda. Tiga plaintif mendakwa diskriminasi atas keengganan mereka untuk mematuhi polisi syarikat yang melibatkan vaksinasi dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau meletakkan jawatan secara sukarela. Lapan plaintif menuntut pengisytiharan daripada mahkamah, bahawa Covid-19 adalah 'palsu, wabak senjata biologi ciptaan manusia yang dibuat untuk menyerupai selesema bermusim'. Selain itu, mereka turut menuntut pengisytiharan bahawa penggunaan rawatan awal dan/atau alternatif dan/atau rawatan konvensional tanpa perlu mengambil 'vaksin eksperimental beracun' dan harus dibenarkan untuk merawat mangsa Covid-19. Plaintif seterusnya menuntut pengisytiharan dan writ certiorari atau larangan terhadap Anwar, Kementerian Kesihatan dan kerajaan menghentikan suntikan 'vaksin eksperimental beracun' serta membatalkan semua jenis dan bentuk program seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dengan serta-merta. Plaintif menuntut sejumlah RM60 juta ganti rugi am, khas dan teladan. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube