SEORANG remaja perempuan warga China yang dilarikan dari Singapura, berjaya diselamatkan oleh polis Johor di Kuantan, Pahang dalam tempoh 24 jam selepas mangsa dilaporkan hilang. Ketua Polis negeri, Datuk M Kumar berkata, seorang lelaki warga China berusia 48 tahun membuat laporna polis di Johor Bahru pada Selasa mengenai anaknya yang berusia 15 tahun tidak hadir ke sekolah, dan dipercayai dilarikan oleh individu tidak dikenali. "Remaja itu tidak hadir ke sejolah di Singapura pada Isnin (25 November) sebelum dilaporkan hilang. Hasil semakan mendapati mangsa dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodlands pada Ahad (24 November). "Melalui risikan yang dijalankan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa di kawasan Kuantan, Pahang pada Selasa (26 November). "Kita juga menahan seorang lelaki warga China berusia 22 tahun di lokasi sama mangsa diselamatkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu. Menurut Kumar, polis turut merampas beberapa barang seperti telefon bimbit, pakaian dan peralatan yang dipercayai digunakan semaa kejadian untuk siasatan lanjut. Beliau berkata, mangsa akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan perubatan. Sementara itu, suspek direman selama tujuh hari bemula Khamis hingga 2 Disember depan. Kumar turut memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 12(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792), Seksyen 48(2) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Seksyen 361 Kanun Keseksaan (Akta 574). "Motif kejadian masih disiasat. Kejayaan operasi ini adalah hasil dari risikan polis dan maklumat daripada orang awam. "Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menganggu proses siasatan," ujarnya. Sehubungan itu katanya, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk konsisten menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran dan talian hotline 07-2212999. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube