suria

Kematian pelatih Palapes: UiTM pandang serius kejadian, teliti semula prosedur latihan

UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memandang serius mengenai kejadian yang membabitkan seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) universiti itu, yang didakwa meninggal dunia selepas menjalani sesi latihan pada 13 November lalu.

UiTM dalam satu kenyataan menzahirkan amat berdukacita dan menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga pelajar berkenaan.

Jelasnya, pihak pengurusan UiTM menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

"Pihak UiTM akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan insiden ini. UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan.

"Sehubungan itu, pihak universiti juga sudah mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisma pemantauan berkaitan dengan aktivitikokurikulum badan beruniform," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan mengenai kematian seorang pelatih Palapes UiTM pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.

Bapa pelatih berkenaan mendakwa kejadian itu membabitkan penderaan secara fizikal.

Bapa mangsa dilaporkan mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.

Susulan laporan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan akan mendapatkan laporan penuh daripada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain