KEJADIAN tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu pada petang Jumaat, mengakibatkan dua beradik maut. Mayat mangsa Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13, masing-masing ditemukan pada pukul 6.32 petang dan 6.59 petang. Sementara mangsa yang terselamat Uzair, 17, ditemukan pada pukul 5.17 petang. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beranak dikhuatiri terperangkap dalam tanah runtuh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.59 petang sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). "Mangsa pertama iaitu lelaki berusia 17 tahun ditemukan selamat sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan. "Mangsa kedua iaitu remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan 6.32 petang, manakala mangsa ketiga ditemukan pada 6.59 malam. "Dua beradik yang meninggal dunia ditemukan tertimbus di bawah runtuhan tanah, di bahagian depan rumah," katanya. Hassan 'As'ari berkata, mayat kedua-dua mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil itu diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ Kuala Terengganu bagi bedah siasat. SAR yang membabitkan pelbagai agensi itu ditamatkan pukul 7 malam selepas dua jam operasi dijalankan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube