SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dilaporkan hilang sejak Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi dilaporkan hilang oleh bapanya pada pukul 7.40 malam selepas menyedari anak kedua daripada lima adik beradik itu tidak pulang ke rumah sejak 9 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati Dhiya Azzahra memaklumkan kepada bapanya untuk menghadiri sambutan hari lahir di sekolah pada pagi Sabtu sebelum disedari tidak pulang ke rumah di Seksyen U3, Shah Alam, Selangor.
“Kanak-kanak itu berketinggian 150 sentimeter, mempunyai berat 45 kilogram dan berkulit sawo matang.
“Dia kali terakhir dilihat memakai seluar denim, baju sejuk, tudung berwarna hitam dan kasut sukan berwarna-warni,“ katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Hafiz berkata Dhiya Azzahra mempunyai masalah katarak pada mata kanannya semasa kecil dan telah melakukan pembedahan bagi membuang selaput.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kanak-kanak itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Hizam Talib menerusi talian 012-6550 262.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube