PERNAH terfikir tak ke mana cukai yang kita bayar digunakan? Cukai bukan sekadar kewajipan undang-undang sahaja tau, tetapi ia adalah sumbangan yang membawa manfaat besar kepada kita seluruh rakyat Malaysia.
Setiap sen cukai yang dikutip membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, sama ada melalui pembangunan infrastruktur yang lebih baik, kemudahan kesihatan yang lebih efisien, atau pendidikan yang lebih berkualiti.
Dalam erti kata lain, cukai yang dibayar bukan hanya membantu memperbaiki keadaan semasa, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mempersiapkan negara bagi masa depan yang lebih cerah.
Cukai ialah sumber utama pendapatan negara. Ia memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara yang makmur dan progresif.
Namun, perkara ini hanya boleh dicapai jika setiap rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai. Dalam hal ini, kesedaran mengenai pentingnya cukai perlu diterapkan dari usia muda supaya setiap individu memahami sumbangan mereka kepada negara.
Mengapa cukai sangat penting?
Cukai merupakan nadi kepada ekonomi negara dan memainkan peranan yang sangat kritikal dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan negara.
Hasil daripada kutipan cukai digunakan untuk menyokong pelbagai sektor utama yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan, dan pembangunan infrastruktur.
Kepatuhan cukai yang tinggi membantu Malaysia melangkah ke hadapan sebagai negara yang makmur dan progresif.
Sebagai contoh yang jelas, cukai membolehkan kerajaan membina sekolah dan universiti yang dilengkapi dengan fasiliti yang baik, memastikan rakyat mendapat pendidikan yang berkualiti dan mencukupi bagi membentuk sumber manusia yang berdaya saing.
Dalam sektor kesihatan, hasil cukai digunakan untuk menyediakan hospital dan klinik kerajaan dengan kos rawatan tanpa sebarang bayaran. Sekiranya rawatan tersebut melibatkan bayaran, kosnya tidak begitu mahal, yang bukan sahaja membuka akses kepada rawatan kesihatan yang lebih baik tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup semua lapisan masyarakat.
Selain itu, cukai juga membolehkan kerajaan melaksanakan program sosial yang membantu golongan kurang bernasib baik. Ini termasuk bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah, sokongan kepada usahawan kecil dan pelbagai jenis bantuan lain.
Apabila anda membayar cukai, ia bukan hanya menunaikan tanggungjawab tetapi turut menyumbang kepada pembangunan negara. Anda melabur dalam masa depan Malaysia – masa depan untuk generasi akan datang.
Kepatuhan cukai: tanggungjawab bersama
Salah satu tunjang utama kepada kejayaan sistem percukaian negara ialah kepatuhan cukai. Setiap individu dan perniagaan bertanggungjawab melaporkan pendapatan mereka dengan jujur dan membayar jumlah cukai yang sewajarnya.
Kegagalan untuk berbuat demikian bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara efektif dan berkesan.
Selain itu, kepatuhan cukai merangkumi kejujuran dalam melaporkan pendapatan, mengelak daripada amalan pengelakan cukai dan tidak terlibat dalam penipuan cukai.
Kesedaran pentingnya cukai perlu diterapkan dari usia muda supaya setiap individu memahami sumbangan mereka kepada negara.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja membawa kesan buruk kepada ekonomi negara tetapi juga merosakkan asas kepercayaan dalam sistem percukaian.
Untuk memupuk kepatuhan cukai secara sukarela, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengambil pendekatan Kesedaran, Pendidikan dan Perkhidmatan (A.E.S).
Pendekatan ini bertujuan untuk mendekati pelbagai kumpulan sasaran, termasuk pembayar cukai yang sudah ada, bakal pembayar cukai, serta individu atau perniagaan yang masih belum didaftarkan dalam sistem percukaian.
HASiL permudah urusan cukai anda
HASiL komited untuk memastikan setiap rakyat dapat memenuhi tanggungjawab cukai mereka dengan mudah dan lancar.
Bermula 1 Januari 2024, semua urusan berkaitan cukai dijalankan sepenuhnya melalui platform digital, Portal MyTax.
Melalui portal ini, pengguna boleh mengakses pelbagai maklumat mengenai cukai, melaporkan pendapatan mereka, dan melakukan pembayaran secara dalam talian – semuanya boleh dilakukan dengan hanya beberapa klik.
Ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga menjadikan proses pengurusan cukai lebih mudah dan efisien.
Penggunaan e-Perkhidmatan diwajibkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2024 menerusi Portal MyTax.
Selain itu, HASiL turut memperkenalkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran cukai seperti HASiL Your Tax Buddy dan Program Sahabat HASiL.
Program-program ini direka khas untuk mendidik golongan muda, termasuk pelajar sekolah dan universiti, tentang tanggungjawab cukai mereka.
HASiL juga menjalankan seminar dan bengkel dengan kerjasama agensi profesional seperti Chartered Tax Institute Of Malaysia (CTIM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan firma-firma percukaian terkemuka bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan komprehensif.
Di era digital ini, HASiL turut memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, X (Twitter), dan YouTube untuk mendekati masyarakat. Melalui platform ini, pelbagai informasi cukai disampaikan secara interaktif dan menarik.
HASiL juga menyediakan EduZone, satu platform pendidikan yang boleh diakses melalui www.hasil.gov.my untuk membantu masyarakat memahami sistem percukaian negara.
Transformasi digital dengan e-Invois
Dalam usaha mendigitalisasikan sistem percukaian negara, HASiL telah melaksanakan inisiatif e-Invois. Dengan pelaksanaan e-Invois, setiap transaksi perniagaan akan direkodkan secara digital, bagi memastikan ketelusan serta kecekapan dalam semua urus niaga.
Ketelusan yang ditawarkan juga berperanan dalam mengurangkan risiko pengelakan cukai, yang seterusnya memastikan kutipan cukai menjadi lebih tepat dan bertanggungjawab.
e-Invois: Memudah cara, meningkatkan pematuhan cukai dan memastikan ketelusan urusniaga.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja memudahkan pembayar cukai tetapi juga meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
Sebagai sebuah negara yang stabil dengan sistem percukaian yang telus dan efisien, Malaysia berpotensi menjadi destinasi pilihan utama pelabur asing, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan serta perniagaan yang lebih luas untuk rakyat.
Selesaikan tunggakan dan bersedia untuk 2025
Sebelum tahun 2025 bermula, inilah peluang terbaik untuk anda menyemak dan menyelesaikan sebarang tunggakan cukai terutamanya bagi tahun sehingga 2023.
Jangan lupa untuk memanfaatkan pelbagai pelepasan dan rebat cukai yang ditawarkan bagi mengurangkan beban bayaran cukai anda pada tahun hadapan.
HASiL sentiasa bersedia untuk membantu anda dengan mendapatkan segala informasi yang diperlukan – anda hanya perlu melayari www.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut.
Cukai anda, masa depan kita
Cukai bukan hanya kewajipan undang-undang tetapi satu bentuk pelaburan kepada masa depan negara. Dengan kepatuhan cukai yang tinggi, Malaysia dapat melangkah ke hadapan sebagai negara yang makmur dan progresif.
Marilah kita semua memainkan peranan masing-masing dengan membayar cukai tepat pada masanya dan secara bertanggungjawab. Ingatlah, “Cukai Anda, Masa Depan Kita” dan melalui setiap pembayaran cukai, kita bersama-sama membina dasar yang kukuh untuk Malaysia yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube