PEMANDU Mercedes-Benz yang disyaki terlibat dalam kes langgar lari sebelum keretanya terbakar berdekatan sebuah plaza tol di ibu negara sudah ditahan polis. Pemandu itu ditahan susulan kemalangan dengan seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SPE) berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin pada Ahad. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa, perintah reman ke atas pemandu itu dibuat pada Isnin. "Siasatan awal mendapati motosikal itu yang berada di lorong kiri dilanggar kereta Mercedes GLE450 AMG Coupe yang dipandu lelaki tempatan berusia 34 tahun. "Pemandu itu tidak berhenti selepas kemalangan sebaliknya meneruskan pemanduan ke arah Wangsa Maju sebelum kenderaannya terbakar di KM 18.1 berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju. "Permohonan reman ke atas pemandu kereta dibuat hari ini (Isnin) dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya dalam satu kenyataan. Pada Ahad, tular video kemalangan antara sebuah Mercedes-Benz dengan motosikal Honda Vario 160 berwarna perak yang berlaku kira-kira pukul 12.35 tengah hari. Ia menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan cedera di bahagian kepala, muka, dan perut. Video kemalangan itu tular di media sosial yang mana ia menunjukkan pemandu kereta tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian. Kemudiannya, muncul satu lagi video lain, memaparkan kereta Mercedes-Benz dengan nombor pendaftaran sama terbakar berdekatan plaza tol. Difahamkan kereta Mercedes Benz itu musnah 100 peratus namun pemandunya selamat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube