PERLAKSANAAN hukuman sebatan ke atas seorang pesalah khalwat akan diteruskan pada 27 Disember ini di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata hukuman terhadap individu pertama di Terengganu itu sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember. Namun ia ditangguhkan susulan permohonan semakan difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember lalu. Beliau berkata, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu memutuskan permohonan semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan sebelum ini iaitu enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda sebagaimana diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 November lalu dikekalkan. Mahkamah turut memutuskan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan tersebut akan berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu seperti keputusan sebelum ini. "Tarikh pelaksanaan hukuman dijadualkan pada 27 Disember akan datang selepas solat Jumaat. Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu. "Pihak berkuasa juga memaklumkan bahawa maklumat lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan diumumkan sebelum tarikh pelaksanaan," katanya. Dalam kenyataan berkaitan, pihak berkuasa menegaskan bahawa hukuman sebatan bagi kes jenayah takzir ini bertujuan memberi pengajaran supaya orang ramai tidak melakukan kesalahan serupa. Selain itu, pelaksanaan ini juga untuk memperlihatkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah. Kerajaan Negeri turut mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman syariah ini berjalan dengan lancar dan teratur. Pada 20 November, seorang tukang rumah dilapor menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam sebatan di khalayak kerana kesalahan khalwat berulang. Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube