suria

Kucing mati di UM dipercayai diserang haiwan liar - Polis

Antara gambar kucing mati yang tular di media sosial.

KESAN pada kucing-kucing yang dilaporkan dibunuh dengan kejam di kawasan Universiti Malaya (UM), dipercayai berpunca daripada serangan haiwan liar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihak keselamatan UM dimaklumkan oleh Jabatan Veterinar bahawa kecederaan yang dialami kucing yang mati itu disebabkan gigitan haiwan liar.

"Setakat ini, tiada laporan polis dibuat mengenai perkara ini.

"Bagaimanapun, pihak keselamatan UM mengesahkan bahawa pihak pentadbiran universiti telah menerima maklumat mengenai kucing-kucing yang mati dan siasatan dalaman sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Dilaporkan, tular mengenai beberapa ekor kucing yang dilaporkan dibunuh dengan kejam di kawasan UM sehingga membangkitkan kemarahan warga maya.

Seorang pengguna Instagram menerusi beberapa hantarannya mendakwa, sekurang-kurangnya tiga ekor kucing, yang mana salah seekornya bernama Lily, mati.

"Mungkin ada lebih banyak kucing lagi (tetapi) kami tidak dapat melihat bangkai-bangkai tu," katanya sambil menggesa pihak berkuasa universiti untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

"Lagi kucing mati pagi ini di UM. Ini jelas bukan disebabkan oleh anjing! Apa yang sedang disembunyikan?" tulisnya pada Jumaat.

Awal minggu ini, sekurang-kurangnya dua ekor kucing dijumpai mati di kampus, dengan beberapa media melaporkan ia mungkin dilakukan oleh anjing liar.

Tular gambar-gambar bangkai salah seekor kucing menjadi tular, menunjukkan haiwan itu terbaring di tanah dengan luka besar di badan dengan keempat-empat kakinya hilang. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain