SEORANG warga emas berputih mata kerugian lebih RM100,000 selepas terjebak dengan pelaburan yang tidak wujud. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, seorang lelaki berusia 73 tahun membuat laporan polis pada Khamis, mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM107,296 selepas terpedaya dengan sindiket tersebut. "Kejadian bermula sekitar Oktober 2023, apabila mangsa melihat sebuah iklan mengenai pelaburan secara Islamik di laman Facebook. "Mangsa berminat untuk membuat pelaburan dan menghantar mesej kepada akaun Facebook tersebut bertanya lebih lanjut," katanya pada Jumaat. Yusof berkata, mangsa kemudian dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang wanita yang menerangkan tentang pelaburan berkenaan, dan menjanjikan pulangan lumayan. "Suspek memberitahu antara syarat untuk melabur adalah mangsa perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu. Selepas membuat pendaftaran dan menjadi ahli kumpulan pelaburan tersebut, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat selama setahun bermula Oktober 2023 hingga Oktober lalu. "Mangsa telah melakukan 15 transaksi pembayaran ke sembilan akaun bank berbeza ketika itu. Sepanjang tempoh mangsa membuat pelaburan ini, mangsa tidak mendapat apa-apa keuntungan," ujarnya. Yusof berkata, tarikh terakhir mangsa membuat pembayaran adalah pada 24 Oktober lalu dan selepas itu mangsa gagal menghubungi suspek sebelum menyedari telah ditipu suspek. Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. "Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan sindiket pelaburan yang menawarkan keuntungan berlipat ganda," katanya. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube