POLIS menahan 13 lelaki yang dikaitkan dengan pemilikan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM). Ia dilakukan menerusi serbuan Op Pedo Bersepadu yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Selangor, Kuala Lumpur, Penang, Perak, Johor, dan Terengganu pada Isnin. Sebanyak 18 pasukan ditubuhkan yang terdiri daripada beberapa divisyen dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bahagian Makmal Forensik (D10) dan Bahagian Bantuan Teknikal (D6). Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi bermula pukul 9 malam Khamis lalu (19 Disember), melibatkan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan MCMC. "Sebanyak 18 premis diserbu, dan peranti dimiliki 13 individu dirampas. Pasukan turut merampas 40,000 bahan-bahan CSAM. "Seramai 13 lelaki berusia antara 20 dan 74 tahun ditahan kerana memiliki bahan pornografi dan CSAM," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Menurut Razarudin, enam individu ditahan di Johor, tiga (Selangor) dan masing-masing seorang di Kuala Lumpur, Perak, Penang, dan Terengganu. "Salah seorang daripada mereka merupakan pengurus akaun, operator pengembaraan, ada yang juruelektrik, manakala yang lain menganggur," tambahnya. Jelas Razarudin, antara barang-barang yang dirampas adalah tujuh komputer, sebuah komputer riba, 11 telefon bimbit, tujuh moden, sembilan router, satu unit DVD, dan satu cakera khas. "Kita menyiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki pornografi kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah," katanya. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube