suria

Tayar treler tercabut punca nahas ngeri 5 kenderaan di Ayer Keroh... 7 termasuk bayi maut di tempat kejadian

Kemalangan tragis itu melibatkan lima kenderaan.

TUJUH individu termasuk seorang bayi perempuan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada Isnin malam.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.40 malam itu, mangsa lain yang terkorban terdiri daripada empat penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, selain pemandu dan penumpang sebuah bas persiaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Pisar Aziz memaklumkan, kemalangan itu melibatkan keseluruhan 40 mangsa dengan tujuh daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Seramai 33 orang yang lain dihantar ke Hospital Melaka dan Alor Gajah serta sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan dalam kemalangan ini," katanya.

Kemalangan menyebabkan muatan pakaian terpakai tercampak daripada treler.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres, dua treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.

Siasatan awal mendapati sebuah treler dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun, dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.

Setibanya pihak polis di tempat kejadian, didapati tayar hadapan sebelah kanan treler terbabit tercabut dan berada di bahagian tengah lebuh raya.

"Kemalangan berlaku apabila bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

"Semasa terbabas ke lorong bertentangan, bas berlanggar dengan Perodua Bezza hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.

"Bas itu kemudian bertembung pula dengan sebuah lagi treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga," katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan itu, pemandu bas dan seorang penumpang, serta pemandu dan empat penumpang Toyota Estima maut di tempat kejadian.

Mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Identiti lima mangsa maut dikenal pasti adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor; pemandu Estima, Khairul Ikhwan Mazupi, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; bapa mentua, Ramli Ab Wahab, 66, dan anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.

Bagaimanapun seorang penumpang bas dan seorang penumpang Estima yang maut masih belum dikenal pasti identiti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain