USAHAWAN dan pempengaruh, Kim Seri yang terpalit dengan dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan tampil memberikan penjelasan menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya pada Ahad malam. Kim Seri atau Seri Azlina, 39, mengakui gangguan dalam operasi serta tempahan pelancongan yang tertunda berpunca daripada beberapa kesilapan perniagaan oleh pihaknya. "Pertama sekali, kelemahan pengurusan daripada pihak saya sendiri. Saya memikul tanggungjawab sepenuhnya dan tidak akan lari daripada masalah ini. Kim Seri menjadi bualan hangat di media sosial sejak kebelakangan ini. "Pakej pelancongan ini saya jalankan dari tahun 2016 dengan niat ikhlas untuk memberikan pengalaman yang lebih baik kepada anda semua ketika bercuti di Korea Selatan pada harga berpatutan. "Namun, timbul masalah yang tidak dijangka pada tahun ini, antaranya kos yang sentiasa bertambah. Saya akui saya gagal untuk menguruskan kewangan perniagaan dengan baik. Masalah paling besar adalah pada Restoran Kim Seri. "Kami mengalami banyak kerugian dengan restoran tersebut, sambutan pelanggan tidak seperti yang diharapkan. Kerugian ini menjejaskan kitaran kewangan untuk perniagaan yang lain termasuk pakej pelancongan. Restoran itu kini sudah bertukar hak milik," terang Kim Seri. Kim Seri bagaimanapun berjanji untuk membuat pembayaran penuh kepada mereka yang terjejas menjelang 1 Februari 2025. ARTIKEL BERKAITAN: Kim Seri mohon maaf, janji buat bayaran balik... Minta pelanggan sabar, tak dapat langsai semua sekali gus Dia menggariskan beberapa perancangan untuk mengumpul dana bagi melangsaikan setiap hutangnya meskipun sedang mengalami kerugian yang besar. "Saya kini hanya tinggal platform TikTok sebagai mata pencarian saya, perniagaan yang lain seperti pakej pelancongan sudah saya tutup. Bermula esok (Isnin), saya akan gunakan platform ini untuk berniaga dari pagi hingga ke malam. "Saya rayu kepada mana-mana founder atau pemilik bisnes, kalau sudi berkolaborasi, boleh hubungi saya. Kita boleh niagakan produk anda di platform TikTok saya. Kita boleh bincang bagaimana hendak bawa barangan anda ke Korea Selatan. "Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari wang bagi membayar semula. Mohon berikan saya peluang, saya tak akan sia-siakan kepercayaan anda. Saya akan kongsikan setiap perkembangan saya secara tulus di media sosial. "Tahun 2024 ini banyak mengajar saya tentang cabaran perniagaan, kini saya sedar kekurangan diri saya. Masih jauh perjalanan saya untuk menjayakan bisnes ini," kata Kim Seri menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube