suria

Tiada sijil halal, cubaan bawa masuk daging wagyu nilai hampir RM20,000 dari Singapura gagal

Daging wagyu dengan nilai sekitar RM18,832 dirampas pada Jumaat.

LEBIH dari 21 kilogram (kg) daging wagyu dari Jepun dirampas di Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri, Johor.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, daging itu dianggarkan bernilai RM18,832 dan dirampas semasa pemeriksaan bersama dengan Jabatan Kastam pada kira-kira pukul 11.40 pagi Jumaat.

"Semasa pemeriksaan, kami menemui tiga kotak yang mengandungi daging wagyu di bahagian belakang sebuah kenderaan persendirian yang masuk ke negara ini dari Singapura.

"Siasatan lanjut mendapati daging wagyu seberat kira-kira 21.4kg itu diimport tanpa sijil kesihatan veterinar dan sijil halal.

"Maqis tetap komited untuk memastikan tumbuhan, haiwan, bangkai, ikan, produk pertanian, tanah, dan mikroorganisma yang memasuki negara ini bebas daripada perosak, penyakit, dan bahan pencemar," ujarnya.

Pemandu kereta, seorang lelaki Malaysia berusia 40-an, turut ditahan bagi membantu siasatan.

Edie Putra berkata tindakan mengimport produk pertanian tanpa permit Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain