suria

Misteri kehilangan lelaki lebih seminggu akhirnya terjawab, mayat ditemukan dalam kereta

Mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat. -Gambar hiasan

MISTERI kehilangan seorang lelaki berusia 55 tahun sejak 13 Disember lalu akhirnya terjawab selepas mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta.

Perkara itu disahkan oleh polis dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa ditemukan di dalam kereta Perodua Viva di kawasan parkir di Sungai Isap, Kuantan, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dijumpai orang awam di dalam kereta Perodua Viva kira-kira 4 petang Sabtu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Sejurus menerima maklumat, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang serta petugas kesihatan ke lokasi kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Hasil siasatan awal polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu malam.

Pemeriksaan di dalam kenderaan turut menemukan kad pengenalan, telefon bimbit dan beg galas milik mangsa.

Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya yang membuat laporan polis pada 14 Disember lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain