suria

Samun pelanggan sedang lepak di kedai makan, polis tahan empat individu

Kegiatan jenayah perlu dibanteras hingga ke akar umbinya. -Gambar hiasan

POLIS menahan empat individu kerana disyaki menyamun seorang lelaki dan mencuri telefon bimbitnya dalam kejadian di Seri iskandar, Perak Tengah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 27 tahun hingga 35 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis sekitar pukul 11.40 malam pada Sabtu.

"Pihak kami menerima laporan daripada mangsa sekitar pukul 10.05 pagi pada hari sama.

"Ketika kejadian, mangsa bersama beberapa orang rakannya sedang duduk di sebuah gerai makan sekitar Seri Iskandar apabila mereka dihampiri oleh suspek pada pukul 5 pagi.

"Suspek memukul dan mencederakan mangsa menggunakan batang besi, sebelum melarikan diri bersama telefon bimbit mangsa," kata Hafezul Helmi ketika dihubungi The Star.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

"Kesemua suspek direman selama lima hari hingga 26 Disember di Balai Polis Sentral Ipoh untuk siasatan lanjut," katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain