ENAM individu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Muar di Johor pada Isnin atas tuduhan amang seksual secara bergilir-gilir terhadap seorang remaja perempuan dalam kejadian lima tahun lalu. Mereka ialah Muhammad Amirul Aiman Sahrrol, 20; Muhammad Azizi Shamsor Kamar, 23, dan kembarnya, Muhammad Azizan, 23; Muhammad Asraf Rosli, 23, Hafsyal Sufian Kamaluddin, 23, dan Muhammad Hafize Abd Rahim. Difahamkan dua daripada tertuduh masing-masing bakal melangsungkan pertunangan Sabtu ini dan berkahwin Mei depan. Namun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Tangkak, antara pukul 1.30 hingga 2 pagi pada 20 Januari 2019. Semua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. Menurut laporan, kejadian berlaku ketika mangsa bertandang ke rumah salah seorang kenalan lelaki dan berehat di bilik di tingkat atas. Dua daripada individu berkenaan bakal bertunang pada Sabtu. Pada waktu itu, terdapat sembilan lelaki di rumah tersebut. Mereka didakwa secara bergilir-gilir naik ke tingkat atas berdua-dua sebelum melakukan perbuatan terlarang itu. Tidak tahan dengan tindakan tersebut, mangsa menangis dan menjerit sehingga didengari oleh jirannya. Jiran yang menyedari situasi itu segera keluar rumah dan mangsa memaklumkan bahawa dia dicabul oleh para tertuduh. Susulan itu, jiran menghubungi pihak polis yang membawa kepada penahanan semua tertuduh bagi membantu siasatan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauz manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. Pada prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan dua syarat tambahan. Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan dan hujahan mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan dua syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 27 Januari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam bagi semua tertuduh. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube