suria

Lega dividen ASB naik! Agihan 5.75 sen seunit bagi 2024, tertinggi dalam lima tahun

Dividen tahun ini mencatatkan peningkatan ketara berbanding 2023. -Gambar hiasan

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024), dengan dividen sebanyak 5.75 sen seunit, termasuk bonus 0.25 sen seunit.

Menurut ASNB, pengagihan pendapatan keseluruhan berjumlah RM10.1 bilion itu bakal memanfaatkan seramai 11.1 juta pemegang unit ASB.

Dividen sebanyak 5.75 sen seunit ini mencatatkan peningkatan ketara berbanding 5.25 sen seunit yang diagihkan pada tahun 2023, sekali gus menjadikan jumlah dividen terkumpul sejak penubuhan ASB kini mencecah RM196.5 bilion.

ASNB menjelaskan bahawa pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Tambahnya, unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan ini akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025.

Bagi proses pengagihan ini, transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara mulai 28 hingga 31 Disember 2024.

Pemegang unit bagaimanapun boleh kembali melakukan transaksi seperti biasa melalui saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025 (Rabu).

Manakala semua cawangan dan ejen ASNB akan mula beroperasi seperti biasa pada 2 Januari 2025 (Khamis).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain