SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan Telegram dan Tencent (WeChat) sudah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk mengendalikan platform mereka di Malaysia. "MCMC memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan. Kedua-dua platform dijangka memenuhi syarat yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia dalam masa terdekat," kata MCMC dalam satu kenyataan pada Khamis. Menurut MCMC, keperluan pelesenan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, perlindungan pengguna dan pengawasan terhadap penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial. "Kerangka ini direka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan. "Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya," menurut kenyataan itu lagi. Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan untuk mengemukakan permohonan mereka sebelum tarikh akhir 31 Disember. Menurut MCMC, Kegagalan untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan pengawalseliaan diambil. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube