suria

Aksi kejar mengejar... 2 lelaki cuba lari sekatan jalan raya, pandu Satria lawan arus rempuh kereta peronda polis

Polis berjaya menahan kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya.

DUA penjenayah yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) dan merempuh kenderaan peronda polis mengundang padah apabila berjaya ditahan oleh pasukan keselamatan itu di Ara Damansara, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.32 pagi di Kilometer 16 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Menurut beliau, kedua-dua suspek merupakan lelaki berusia 29 dan 30 tahun, menaiki kereta jenis Proton Satria dan bertindak memandu secara melawan arus untuk melarikan diri.

"Pasukan peronda bertindak mengejar kenderaan suspek sehingga di Jalan PJU 1A/1 Ara Damansara sebelum suspek melanggar kenderaan peronda dan sebuah motosikal ditunggang orang awam.

"Dalam insiden itu, kedua-dua suspek berjaya ditahan pasukan terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Shahrulnizam berkata, pemeriksaan terhadap kereta suspek menemukan dadah jenis syabu seberat 12.87 gram dan alat renjatan elektrik.

Jelasnya, hasil pemeriksaan turut mendapati pemandu kereta memiliki 16 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, manakala penumpangnya mempunyai satu rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958, serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, Shahrulnizam turut menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang kejadian jenayah atau individu mencurigakan kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain