suria

Kejam! Anjing mati dipercayai kena panah hingga tembus perut

Foto menunjukkan keadaan Kutty selepas dipanah.

BELUM reda isu tular membabitkan kematian kucing dan anjing, kini timbul pula insiden seekor anjing yang mati dipercayai dipanah oleh seorang pekerja hanya kerana memasuki lorong lain.

Tindakan yang tidak berperikemanusiaan dikecam sekeras-kerasnya oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM).

Presidennya, R Kalaivanan berkata, anjing dikenali sebagai Kutty itu mengalami kecederaan parah sebelum mati akibat tindakan kejam berkenaan.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Selama, Perak pada 22 Disember lalu.

Menurut SAFM, kejadian itu bukan sahaja mencabar nilai asas kemanusiaan tetapi juga melanggar undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“SAFM menyeru mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan dan membantu siasatan,” tegas SAFM dalam satu kenyataan.

Menerusi foto yang dikongsikan, kelihatan anjing itu tertusuk sebatang anak panah menembusi bahagian perutnya.

Jelas Kalaivanan, laporan boleh dibuat di balai polis terdekat, selain aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap pelaku.

Persatuan itu turut menuntut agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DVS menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar bangkai anjing, kucing pula ditemukan di UM

ARTIKEL BERKAITAN: Kes kucing mati di UM: Polis buka kertas siasatan, rakam keterangan

Mereka mendesak penguatkuasaan penuh mengikut Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000, hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi pesalah yang disabitkan kesalahan.

“Situasi ini berpunca daripada kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang, yang sering kali membolehkan pesalah terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Sudah tiba masanya untuk memperkukuh undang-undang serta memastikan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkesan,” tambah kenyataan itu.

SAFM juga menyeru masyarakat agar bersatu menegakkan hak haiwan dan memastikan pelaku kejam tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Keadilan untuk Kutty adalah keadilan untuk semua haiwan yang memerlukan perlindungan,” kata SAFM.

Terdahulu dalam insiden berasingan, tular gambar-gambar bangkai salah seekor kucing, menunjukkan haiwan itu terbaring di tanah dengan luka besar di badan dengan keempat-empat kakinya hilang.

Kejadian itu mengundang kemarahan warga maya apabila kucing tersebut dilaporkan dibunuh dengan kejam di kawasan Universiti Malaya.

Pada Rabu lalu, bangkai kucing dan anjing pula ditemukan di kawasan Universiti Malaya (UM).

Susulan itu, polis membuat kertas siasatan berhubung beberapa insiden yang berlaku.

Dilaporkan, pensyarah, penuntut Universiti Malaya (UM) dan seorang aktivis haiwan antara tujuh individu yang dirakam keterangan berhubung kes kematian kucing di universiti itu, baru-baru ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain