SATU pasukan konsular dihantar untuk memberikan bantuan dan sokongan segera kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas bas di utara Norway pada Khamis. Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan. "Kementerian amat prihatin terhadap kemalangan bas penumpang yang berlaku berhampiran Tasik Asvatnet, Norway, kira-kira pukul 1.30 petang (waktu tempatan). "Kejadian berlaku ketika keadaan cuaca yang teruk termasuk salji lebat dan angin kencang menyebabkan bas hilang kawalan dan terbalik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Laporan awal menunjukkan bahawa penumpang termasuk pelancong asing dari Malaysia, China, Singapura, India, Belanda, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine. ARTIKEL BERKAITAN: 3 maut, bas bawa pelancong termasuk rakyat Malaysia terjunam ke dalam tasik Maklumat lanjut mengenai kejadian itu dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa pada Jumaat. Walaupun keadaan cuaca yang buruk menyukarkan usaha penyelamatan awal, pihak berkuasa Norway berjaya membawa keluar semua penumpang. Pada Khamis, tiga maut manakala empat individu lagi mengalami kecederaan serius selepas bas yang membawa 58 penumpang terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam Tasik Åsvatnet, dengan sebahagian kenderaan itu tenggelam. Kejadian berlaku berhampiran Raftsundet di kepulauan Lofoten yang merupakan destinasi pelancongan terkenal di utara negara tersebut. Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Stokmarknes. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube