DIKEMASKINI SEORANG pesalah khalwat berulang selesai menjalani hukuman enam sebatan yang disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, petang Jumaat. Hukuman sebatan syariah itu menjadikan tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, sebagai individu pertama di Terengganu menjalani hukuman sebat di khalayak ramai kerana kesalahan tersebut. Tertuduh yang merupakan duda lima anak itu didapati bersalah berkhalwat kali ketiga dengan wanita berbeza menjalani hukuman sebat bermula pukul 2.50 petang. Proses hukuman sebat dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu. Terdahulu, tertuduh yang berpakaian penjara berwarna merah dan memakai pelitup muka tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada kira-kira 2.29 petang, diiringi warden penjara. Dia kemudian dibawa memasuki ke sebuah bilik dalam dewan di masjid tersebut untuk pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan sebelum hukuman sebat dijalankan. ARTIKEL BERKAITAN: Khalwat: 70 individu dibenar masuk ke tempat hukuman sebat, polis kawal keselamatan ARTIKEL BERKAITAN: Khalwat kali ketiga, bapa 5 anak individu pertama dihukum sebat di khalayak ramai Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman itu dalam prosiding pada 20 November lalu. Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu. Tertuduh yang berpakaian penjara berwarna merah dan memakai pelitup muka diiringi warden penjara. Foto AZLINA ABDULLAH (SMG) Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023. Hukuman sebatan ke atas tertuduh sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Seramai 40 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pekarangan Al-Muktafi Billah Shah bagi memastikan pelaksanaan hukuman sebat tersebut berjalan lancar. Tertuduh dibawa keluar dari dewan masjid berkenaan pada pukul 2.55 petang dan menaiki kenderaan untuk dihantar pulang ke Penjara Marang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube