SEORANG maut, manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 37, Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, pada Ahad. Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin. Beliau berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.15 malam dan meragut nyawa seorang wanita berusia 30 tahun yang merupakan pegawai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Temai, Pekan, Pahang. Menurutnya, ketika kejadian, mangsa menaiki kereta Perodua Myvi yang dipandu suaminya dalam perjalanan dari Segamat menuju ke Kuantan. Dalam pada itu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki empat sekeluarga dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan. "Siasatan awal mendapati SUV itu hilang kawalan dan kemudiannya terbabas ke jalan sebelah, menyebabkan ia bertembung dengan kereta dari arah bertentangan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin. Mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian, manakala suaminya bersama dua lagi anak perempuan yang mengalami kecederaan parah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Beliau berkata, pemandu dan penumpang SUV pula mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital sama. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube