EMPAT individu yang maut selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway dipercayai terlibat dalam pengambilan dadah. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati mangsa disyaki mengambil dadah jenis ekstasi. "Kami masih menunggu laporan toksikologi. "Selain empat mangsa yang maut, tiga lagi menunjukkan simptom sama. "Ketujuh-tujuh mereka tidak pergi ke konsert itu bersama-sama, tetapi hadir secara berasingan bersama kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut selepas hadir konsert Pinkfish, tiada kecederaan luaran dikesan Menurut beliau, dua mangsa masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), manakala seorang lagi telah discaj dari hospital. "Kita menerima enam laporan polis yang dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL). "Kita membuka empat kertas siasatan bagi mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan," katanya. Hussein berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada empat individu. "Kita akan panggil beberapa lagi untuk merakamkan keterangan mereka termasuk penganjur konsert dan rakan mangsa," katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau mana-mana balai polis. Terdahulu, dilaporkan empat maut, kesemuanya adalah rakyat Malaysia termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40 tahun, menghadiri konsert di Bandar Sunway pada 31 Disember lalu. Beliau berkata, hasil bedah siasat sudah dijalankan tetapi punca sebenar kematian masih menunggu siasatan makmal. Tiada kecederaan luaran dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube