STESEN LRT KLCC yang ditutup sementara susulan insiden kebakaran melibatkan bilik peralatan elektrik pada petang Khamis, kini dibuka semula. "Stesen KLCC dibuka semula dan kembali beroperasi seperti biasa. "Bagaimanapun, penumpang turut dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma untuk mengurangkan kesesakan di stesen, bagi melancarkan perjalanan," menurut Rapid KL dalam satu hantaran di Facebook. Terdahulu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohamed Azimin Mohamed Zahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.15 petang Khamis. "Tujuh anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian. Kami mendapati satu panel elektrik terbakar. "Namun api berjaya dipadamkan oleh pasukan ERT (pasukan respon kecemasan) KLCC sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Gempar eskalator stesen LRT Ampang Park terbakar Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada mangsa cedera dalam kejadian itu. Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa stesen KLCC ditutup buat sementara waktu. "Penumpang disarankan untuk ke stesen Persiaran KLCC dan stesen Ampang Park untuk meneruskan perjalanan. "Perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan di stesen Ampang Park, KLCC dan Dang Wangi," katanya. Pada masa sama, Rapid Rail turut berharap agar semua orang kekal tenang dan mematuhi arahan daripada petugas operasi stesen. "Sila rujuk media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE untuk maklumat terkini," katanya. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube