PASUKAN kastam Hong Kong menahan tiga pengembara, termasuk seorang dari Malaysia, kerana didakwa menyeludup dadah bernilai lebih HK$9 juta (RM5.19 juta) di lapangan terbang. Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada Rabu berkata, pegawainya merampas kira-kira 4.5 kilogram (kg) cecair yang disyaki kokain dan kira-kira 12kg disyaki ketamin daripada tiga penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada Selasa. Dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 32 tahun dari Malaysia ditahan semasa pelepasan selepas pegawai kastam menjumpai 2kg ketamin dalam bungkusan daun teh dalam beg pakaiannya. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki warga Malaysia ditahan di Australia, didakwa seludup 100kg dadah Dalam kes kedua, kira-kira 4.5kg kokain ditemukan dalam beg pakaian seorang lelaki berusia 26 tahun yang tiba dari Sao Paulo, Brazil, melalui Addis Ababa, Ethiopia. Bahan terlarang itu disembunyikan dalam dua botol wain dan tiga produk penjagaan diri. Dalam kes ketiga, seorang penumpang lelaki berusia 46 tahun yang tiba dari Paris, Perancis, ditemukan bersama kira-kira 10kg ketamin yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk protein di dalam beg pakaiannya. Ketiga-tiga individu berkenaan didakwa dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi kes masing-masing. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube