"SAYA di sini hari ini adalah untuk membawa anak perempuan saya pulang dan menemaninya dalam perjalanan terakhirnya," demikian kata Yap Eng You, bapa kepada remaja perempuan, Yap Xin Yuan, yang mana mayatnya ditemukan dalam keadaan reput, 28 Disember lalu. Eng You dilihat tiba bersendirian di Unit Forensik Hospital Banting sekitar pukul 8 pagi Jumaat untuk menuntut mayat anak perempuannya, lapor China Press. Jasad mendiang Xin Yuan kemudian dibawa keluar dengan menaiki sebuah kenderaan jenazah jenis Toyota Vellfire. Eng You ketika ditemui pemberita meluahkan kesedihannya kerana sukar menerima hakikat kehilangan anak sulung daripada tiga adik-beradik perempuan, apatah lagi selepas melihat sendiri mayat mendiang yang sukar untuk dikenal pasti. ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Mayat reput ditemukan di Banting adalah Yap Xin Yuan "Sekarang anak perempuan saya sudah meninggal dunia, keluarga terpaksa menerima realiti pahit ini," katanya. Tambah Eng You, mendiang anaknya akan disemadikan di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras. Pada Isnin, polis mengesahkan mayat reput yang ditemukan di Banting, Selangor pada 28 Disember lalu dikenal pasti sebagai Yap Xin Yuan. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, identiti mayat remaja perempuan itu disahkan selepas keputusan analisa Asid Deoksiribonukleik (DNA) oleh Jabatan Kimia yang diperoleh pada Khamis, sepadan dengan ibunya. Menurut beliau, tiga suspek yang ditahan termasuk teman lelaki mangsa direman sehingga Ahad ini. Xin Yuan dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras, Selangor. Susulan itu, keluarga Xin Yuan membuat laporan mengenai kehilangan remaja itu di Balai Polis Batu 9, Cheras. Pada 28 Disember lalu, satu mayat yang sudah reput ditemukan di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sg Changgang dan polis percaya ia ada kaitan dengan kehilangan gadis berkenaan. Kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube