EMPAT individu yang maut, manakala tiga lagi terselamat selepas menghadiri konsert Pinkfish Countdown di Bandar Sunway, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum menerima rawatan. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua mangsa sempat menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital. "Insiden ini berlaku antara pukul 10.45 malam hingga 3 pagi. Siasatan awal mendapati semua mangsa mengambil pil ekstasi di konsert itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Jumaat. Hussein memberitahu, sebahagian mangsa dipercayai membeli dadah tersebut sebelum berkunjung ke konsert, manakala sebahagian lagi mungkin membelinya di lokasi. "Kita percaya terdapat individu yang menjual pil ekstasi di kawasan konsert dengan harga RM50 sebiji atau tiga biji RM100. "Kita sedang mengenal pasti dalang (tokan) yang menjual dadah tersebut," katanya. Menurut Hussein lagi, pihak penganjur konsert dianggap gagal memastikan keselamatan para pengunjung kerana tidak berjaya menghalang penjualan dan penggunaan dadah semasa acara berlangsung. ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut selepas hadir konsert Pinkfish, tiada kecederaan luaran dikesan ARTIKEL BERKAITAN: Konsert tahun baharu: Empat pengunjung maut disyaki ambil ekstasi "Sebagai contoh, penganjur perlu menunjukkan kemampuan untuk mencegah pengedaran dan penggunaan dadah di lokasi konsert. "Kita tidak boleh membenarkan penganjuran konsert jika ia membawa kepada kematian pengunjung. Aspek keselamatan mesti diutamakan," tegasnya. Susulan kejadian itu, pihak polis akan memperketatkan syarat sebelum sebarang permit konsert diluluskan pada masa akan datang. Dalam pada itu, pihak polis sedang menyiasat kemungkinan konsert tersebut melebihi kapasiti yang ditetapkan untuk sambutan Tahun Baharu tersebut. "Sebanyak 14,000 tiket dilaporkan terjual. Bagaimanapun, dengan kehadiran pasukan keselamatan dan perubatan, kita percaya lebih 14,000 orang hadir malam itu. "Pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada penganjur, pasukan perubatan, pasukan keselamatan serta keluarga dan rakan mangsa bagi membantu siasatan. "Dua mangsa kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala seorang lagi sudah discaj daripada hospital," katanya. Pada Khamis, dilaporkan empat mangsa yang maut dipercayai mengalami simptom yang sama selepas mengambil dadah jenis ekstasi. Bagaimanapun, pihak polis masih menunggu laporan toksikologi bagi mengesahkan punca kematian. Siasatan turut melibatkan empat kertas siasatan untuk mengenal pasti elemen jenayah atau keracunan. Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau balai polis berhampiran. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube