DUA pekerja maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dihempap kepingan kaca dalam kontena di sebuah kilang di Bintulu, Sarawak. Kejadian berlaku pada pagi Jumaat itu menyebabkan dua mangsa yang merupakan warga Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian. Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 10.29 pagi dan mengarahkan enam anggotanya bersama sebuah jentera ke lokasi. “Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati tiga mangsa terperangkap. Seorang mangsa dalam keadaan sedar, manakala dua lagi tidak sedarkan diri. “Mereka dihempap kepingan kaca di dalam sebuah kontena di kilang berkenaan,” katanya. Pasukan bomba menggunakan peralatan seperti cangkul, penyeduk dan kapak keselamatan untuk mengeluarkan mangsa. “Dua mangsa yang tidak sedarkan diri di lokasi kejadian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. Menurut jurucakap itu, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube