SEORANG remaja perempuan menikam ibu saudaranya dengan pisau selepas berlaku pertengkaran dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, Perai, Pulau Pinang pada Jumaat. Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek berusia 14 tahun bertengkar dengan ibu saudaranya yang berusia 35 tahun di ruang tamu. Ujarnya, punca pertengkaran itu dipercayai selepas suspek yang tidak bersekolah dikatakan mahu tinggal semula dengan ibu kandungnya tetapi dihalang mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan suspek tikam dua beranak, siasat motif pembunuhan... Saksi awam diseru salur maklumat "Berdasarkan siasatan awal, remaja perempuan berusia 14 tahun itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu kerana menghadapi masalah keluarga. "Kejadian tikaman itu berlaku ketika mereka berada di ruang tamu rumah itu," katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, semasa pertengkaran itu, suspek tiba-tiba menikam ibu saudaranya dengan sebilah pisau, mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kiri. "Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. "Sementara itu, suspek ditahan di lokasi kejadian bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube