suria

Polis giat kesan suspek kes tembak mati lelaki di restoran, semak rakaman CCTV

Mayat mangsa dibawa polis untuk tindakan lanjut.

POLIS mengesahkan individu yang ditembak mati ketika makan tengah hari di Taman Setia Indah, Johor Bahru pada Rabu merupakan lelaki berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 12 tengah hari dan seorang penduduk telah memaklumkan pihak berkuasa melalui talian kecemasan MERS 999.

Beliau menambah, video mengenai insiden tersebut kini tular di media sosial.

Raub memaklumkan mangsa kejadian berusia 40 tahun. - FOTO SMG

Raub memaklumkan mangsa kejadian berusia 40 tahun.

"Siasatan awal mendapati mangsa sebagai lelaki berusia 40 tahun. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Polis giat menyiasat bagi mengenal pasti individu yang terlibat, mencari saksi dan menentukan punca sebenar kejadian," katanya pada Rabu.

Raub berkata, mangsa sedang makan di restoran tersebut ketika kejadian dan polis sedang memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran.

Ditanya mengenai jumlah tembakan yang dilepaskan, Raub memaklumkan ia masih dalam siasatan dan laporan bedah siasat dijangka dikeluarkan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak berkongsi video tersebut di media sosial kerana ia boleh membawa kepada spekulasi dan salah faham.

ARTIKEL BERKAITAN: Disangka bunyi mercun, rupanya tembakan... Lelaki maut ditembak ketika makan di restoran

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian disarankan untuk menghubungi talian IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau datang ke balai polis terdekat.

"Polis Daerah Johor Bahru Selatan komited menjalankan siasatan dengan teliti dan memberikan maklumat terkini selepas siasatan selesai," katanya, sambil menambah kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, seorang lelaki maut ditembak ketika sedang makan bersama rakan-rakannya di sebuah restoran di Taman Setia Indah pada Rabu.

Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya sedang makan tengah hari di hadapan restoran tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi, sebelum ditembak.

Seorang pekerja bengkel yang enggan dikenali berkata, dia mendengar tiga bunyi letupan berturut-turut dan melihat seorang penunggang motosikal melarikan diri dari tempat kejadian.

"Selepas itu, kami melihat seorang lelaki terbaring di lantai di hadapan restoran," katanya yang pada mulanya menyangka ia bunyi orang bermain mercun. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain