suria

Bayi 4 bulan meninggal di taska tak berlesen - “Dunia akhirat saya tak maafkan”

Foto tular yang dikongsikan di X.

SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak berlesen di Bandar Saujana Putra, Selangor pada 3 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.29 petang (Jumaat, 3 Januari) daripada seorang doktor sebuah klinik sekitar kawasan Bandar Saujana Putra.

"Berdasarkan laporan, doktor berkenaan menerima bayi lelaki itu yang dibawa seorang pengasuh taska di dalam keadaan pucat.

“Bayi tersebut juga didapati dalam keadaan kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas selain tiada pergerakan anak mata bila disuluh lampu.

“Pengadu (doktor) serta merta melakukan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Akmalrizal, Hospital Cyberjaya telah menerima bayi berkenaan kira-kira pukul 4.35 petang hari sama dan melakukan CPR lebih 30 minit.

Tangkap layar video yang menjadi tular di X.

Bagaimanapun, tiada tindak balas daripada bayi berkenaan sebelum doktor mengesahkan kematiannya pada pukul 5.05 petang.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan keterangan pengusaha dan pekerja premis telah diambil polis. Premis ini tidak berlesen dan permohonan telah dihantar tapi belum diluluskan," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada Rabu, tular tangkap layar luahan sedih seorang wanita dipercayai ibu mangsa dikongsikan semula di laman X, mendakwa bayi yang dihantarnya meninggal dunia didakwa akibat kecuaian pihak taska.

Wanita berkenaan juga mendakwa anaknya ditinggalkan bersendirian dalam bilik dan dibiarkan tanpa pengawasan sehingga tidak boleh bernafas.

Difahamkan, taska itu juga hanya mempunyai dua pengasuh yang menjaga 25 bayi.

“Saya hantar dia elok sihat bernyawa. Saya baru susukan. Terima kasih ambil hak saya sebagai seorang ibu. Kalau sebab kematian SIDS sekalipun, masih boleh dielak kalau ada orang jaga sepanjang masa.

"Teacher (pengasuh) tinggal dalam bilik dan tak tahu berapa lama? Sampai anak saya terseksa nak bernafas? Sampai terberak-berak dia sebab sakit?

"Kali terakhir saya tukar pampers semasa dia hidup sebelum saya hantar pergi taska pukul 9 pagi. 8 jam kemudian, saya kena tukar pampers dia dalam keadaan meninggal. Dunia akhirat saya takkan maafkan,” katanya.

Untuk makluman, Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) adalah sindrom kematian bayi secara mengejut.

SIDS merujuk kepada kematian bayi secara tiba-tiba dan tidak dapat dijelaskan, biasanya berlaku pada bayi yang berumur kurang daripada satu tahun semasa mereka sedang tidur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain