SEORANG pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mersing, Johor pada Khamis atas pertuduhan membunuh seorang lelaki sebelum mayatnya disumbat dalam but sebuah kereta Proton Waja pada Disember tahun lalu. Tertuduh, Hasbullah Adam, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mengikut pertuduhan, Hasbullah didakwa membunuh Shakirin Mohamad, 28, antara pukul 6.10 pagi pada 26 Disember hingga 1.50 tengah hari pada 28 Disember 2024. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika sabit kesalahan. ARTIKEL BERKAITAN: Gempar penemuan mayat lelaki dalam but kereta, dipercayai dibunuh Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong, manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Bohari. Dalam prosiding itu, Fang Leong memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan kes bagi menunggu laporan kimia, bedah siasat dan forensik. Beliau juga memohon agar tiada jaminan dibenarkan memandangkan tertuduh berdepan tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Majistret Nurkhalida Farhana menetapkan 27 Februari depan untuk sebutan semula kes. Pada 29 Disember tahun lalu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan mengenai penemuan mayat di tepi jalan Kilometer 48, Jalan Jemaluang menghala ke Kahang di Mersing. Difahamkan, punca kejadian adalah bermotifkan dendam. Susulan itu, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang kini berusia 34 hingga 36 tahun. Bagaimanapun pada Rabu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata suspek wanita yang ditahan bersama itu dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube