SEORANG lelaki diculik dan dipukul rakan-rakannya di tempat awam atas dakwaan tidak membayar hutang berjumlah RM37,000. Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata teman wanita kepada mangsa membuat laporan polis mengenai insiden itu pada 2 Januari lalu sekitar pukul 11.23 malam. "Wanita itu memberitahu dalam laporannya bahawa dia dan mangsa yang berusia 34 tahun berada di sebuah restoran sekitar Taman Nusa Bestari, Johor Bahru ketika kejadian berlaku. "Sekumpulan lelaki warga tempatan menghampiri mereka pada pukul 9 malam. "Kumpulan itu bertindak memukul dan melarikan mangsa menggunakan sebuah kereta," kata Kumarasan dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Khamis. Tambah Kumarasan, sekitar pukul 1.20 pagi pada 3 Januari, polis menahan lima suspek yang berumur antara 20 hingga 29 tahun, mangsa turut diselamatkan dalam serbuan di Taman Nusa Bestari itu. "Dipercayai motif kes itu adalah kerana hutang. Lima suspek yang ditahan bukannya ah long, tetapi rakan kepada mangsa yang ada memberikan pinjaman tetapi tidak dibayar semula oleh mangsa," ujarnya. Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Bagaimanapun kesemua suspek negatif ujian saringan awal dadah. “Empat daripada lima suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, mereka mengaku tidak bersalah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan akta yang sama dan Seksyen 323 akta yang sama," ujarnya. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube