suria

Rakaman insiden langgar Zaharif tiada dalam ‘dashcam’ pegawai polis... Saksi dapati kad memori pernah diakses

Mohd Nazri Abdul Razak disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TIADA rakaman berkaitan kemalangan ditemukan pada kamera papan pemuka dalam kenderaan pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak yang dituduh membunuh seorang pelajar sekolah menengah di Meru Raya, Ipoh, Perak pada 15 Disember 2023.

Pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ipoh, Asisten Superintenden S Dasarathan berkata, kereta tertuduh yang digunakan ketika insiden serta kamera papan pemuka yang mengandungi kad memori sudah diperiksa.

"Pegawai penyiasat trafik Ipoh, Inspektor Jong Pit Chao diarahkan untuk memeriksa kenderaan terbabit dan mengesahkan sebuah kamera papan pemuka bersama aksesori lain termasuk kad memori berjaya ditemukan," katanya.

Dasarathan yang juga saksi pendakwaan ke-33 memberikan keterangan itu secara bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis bunuh pelajar: Mangsa tak terus mati selepas dilanggar, cadang kematian trauma

"Saya menerima kamera papan pemuka dan kad memori itu daripada Inspektor Jong. Saya kemudiannya menandakan kad memori tersebut sebagai 'AC5'.

"Bagaimanapun pemeriksaan pada kamera papan pemuka dan kad memori mendedahkan tiada rakaman yang dibuat pada hari kejadian iaitu 15 Disember 2023," katanya.

Selepas analisis forensik dilakukan, polis berjaya memperoleh 130 fail video yang bertarikh dari 4 November 2022 hingga 19 Disember 2022.

"Tiada rakaman yang dibuat antara 20 Disember 2022 hingga 15 Disember 2023 (hari kejadian)," ujarnya.

Selain itu saksi itu memberitahu, berdasarkan laporan forensik makmal, didapati kad memori terbabit pernah diakses pada 19 Disember 2023 iaitu sehari sebelum bahan kes itu ditemui.

Namun siasatan awal masih belum muktamad dan analisis forensik lanjut diperlukan.

Tambah Dasarathan, laporan toksilogi turut mendedahkan tiada kesan alkohol atau dadah pada tubuh mangsa atau suspek.

Untuk rekod, Mohd Nazri didakwa membunuh mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Jalan Taman Jati antara pukul 12.05 tengah hari dan 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain