SEORANG bekas guru besar sekolah rendah, Mohammed Mohd Som, 58, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan seorang guru pelatih perempuan berusia 21 tahun. Tertuduh minta dibicarakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada Jumaat. Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan cara memeluk dan mencium pipinya dalam kejadian di Sekolah Kebangsaan Telok Berembang sekitar pukul 10.40 pagi pada 16 Ogos tahun lalu. Lelaki itu turut berdepan dua lagi pertuduhan kerana didakwa memeluk dan mencium dahi wanita itu dalam sebuah kereta di depan premis di Taman Ilir Jaya dan Taman Wira Indah sekitar pukul 11 malam pada 30 Julai dan 18 Januari 2024. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan individu. Jika disabit kesalahan dia boleh dihukum penjara selama 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri, mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan. Namun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan memohon jumlah jaminan yang rendah iaitu RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan tertuduh tidak lagi menjadi guru di sekolah itu namun sudah ditukarkan ke Jabatan Pendidikan Negeri. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi kesemua tiga pertuduhan dan sebutan semula kes pada 6 Mac depan. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube