SEORANG lelaki warga asing maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 39 sebuah kondominium mewah di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, kejadian berlaku pada pagi Selasa.
Ujarnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 7.39 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Wanita maut jatuh dari tingkat 23
"Setibanya di lokasi kejadian, pasukan polis mendapati mangsa yang berusia 29 tahun sudah meninggal dunia.
"Keadaan anggota badan mangsa tidak sempurna, dipercayai akibat terjatuh dari ketinggian yang ekstrem," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Ujarnya, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).