suria

Suami isteri direman 3 hari kes tipu umrah

Pasangan itu mengadakan sidang media bersama MHO pada Rabu.

MAHKAMAH Majistret Sepang membenarkan sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah agensi pelancongan direman selama tiga hari bermula Khamis selepas disyaki terbabit dalam kes penipuan umrah.

Peguam mewakili pasangan terbabit, Iman Norhizam memaklumkan bahawa mereka ditahan bagi membantu siasatan.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan tempoh reman terhadap pasangan itu selama tiga hari sehingga Sabtu.

"Selain pasangan berkenaan, enam pekerja syarikat agensi pelancongan tersebut turut direman selama tiga hari," katanya.

Menurut Iman, anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang proses siasatan.

Pada Rabu, pasangan berusia 31 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira pukul 7 petang, selepas mengadakan sidang media bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan pihaknya menerima tujuh laporan polis berhubung kes penipuan pakej umrah dengan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta, melibatkan 379 mangsa pada Rabu.

Siasatan awal mendapati syarikat tersebut mula beroperasi sejak 2022 sebelum berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang pada Oktober tahun lalu.

Selasa lalu, tular di media sosial apabila kira-kira 300 jemaah umrah terkandas selepas dijanjikan penerbangan ke tanah suci yang kemudiannya ditunda oleh syarikat pengendali umrah berkenaan.

Susulan insiden itu, Pengarah Urusan syarikat terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka serta menawarkan tiga penyelesaian, termasuk pemulangan semula 100 peratus wang jemaah.

Artikel Lain