suria

Bapa dakwa anak didera di taska, terkilan tak cukup bukti nak tuntut keadilan

Kesan lebam di belakang badan Ayden dipercayai dipukul.

BAPA kepada kanak-kanak yang didakwa didera di sebuah taska di Shah Alam, Selangor pada 15 Januari lalu terkilan kerana tiada tindakan diambil terhadap pelaku anaknya.

Nazmi Zulkifli bagaimanapun memahami keputusan pihak berkuasa yang mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai No Further Action (NFA) kerana kekurangan bukti.

"Kami sekeluarga faham tak cukup bukti, cuma kecewa kerana tiada apa-apa tindakan lanjut yang boleh dibuat.

"Kalau bukan penderaan sekali pun, sekurang-kurangnya pengabaian," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Badan merah-merah, kesan lebam teruk belakang badan! Anak autistik didakwa didera di taska, guru kata jatuh gelongsor

Ditanya keadaan terkini anak sulungnya, Ayden, Nazmi memaklumkan keadaannya kembali baik walaupun dari sudut psikologi sedikit terganggu.

"Dia semakin baik cuma kadang-kadang macam saya ke tandas, tinggal dia bersendirian dia akan marah-marah.

"Yang lain-lain dia makin OK. Dia boleh bermain macam biasa balik," katanya.

Nazmi turut menjelaskan, Ayden kini sudah memasuki tahun satu dan taska itu ada dalam peracangan awal untuk dijadikan tempat transit untuk anaknya itu.

Nazmi memahami keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA.Nazmi memahami keputusan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA.

Namun, selepas insiden itu, Ayden dijaga oleh keluarga mentuanya sementara waktu dan kini sudah dihantar ke taska lain yang dijadikan transit selepas selesai sesi persekolahan.

Menceritakan semula hari kejadian, Nazmi berkata Ayden menjadi pendiam, namun dia tidak mengesyaki apa-apa.

"Biasanya bila sampai rumah, turun dari kereta dia akan berlari, melompat tapi hari tu dia pegang tangan saya.

"Walaupun masa tu waktu saya tengah pegang barang dan tolak stroller dua adiknya," katanya.

Nazmi berkata dia masih tidak menyedari apa-apa berlaku terhadap Ayden hinggalah membawanya untuk mandi.

Dia semakin baik dan boleh bermain seperti biasa semula.

NAZMI

"Bila tanya kesan belakang badan tu sakit atau tak dia hanya senyap. Kena air pun dia tak bagi apa-apa reaksi.

"Saya bersangka baik, ingat ruam jadi saya tanya isteri, dia kata itu bukan ruam tapi lepas isteri cakap lebam kemudiannya kami bawanya ke klinik," katanya.

Nazmi berkata, dia ada bertanya kepada anak keduanya sama ada terdapat individu memukul Ayden, anaknya itu berkata ada iaitu cikgu.

"Namun, apabila dibawa polis bawa ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), dia malu dan takut di hadapan kamera jadi dia tak bercakap," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak autistik dan non-verbal didakwa didera di sebuah taska di Shah Alam, Selangor pada 15 Januari lalu.

Menurut bapa mangsa, Nazmi Zulkifli, dia menyedari kanak-kanak itu dipukul selepas melihat kesan lebam pada belakang badan anak sulungnya, dikenali sebagai Ayden ketika memandikannya pada hari sama.

"Pada malam itu juga, saya dan isteri membawa dia ke klinik di Seksyen 7 dan doktor berpendapat ini kesan dipukul. 

"Keesokannya saya bawa Ayden berjumpa pakar di Hospital Shah Alam dan lima doktor mengatakan bahawa luka itu disebabkan dipukul dan bukannya terjatuh," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain