suria

Terjatuh di landasan, OKU penglihatan maut digilis tren LRT

Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang di landasan. -Foto PGOKL

SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa pada Sabtu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Komander Operasi Fadil Hesam Mohd, berkata pihaknya  menerima panggilan kecemasan pada jam 08:38 pagi melalui sistem MERS-999 berhubung penemuan mayat di bawah rel keretapi.

"Balai Jagaan Balai Bompa Penyelamat (BBP) Sentul dan Balai Bantuan BBP Titiwangsa dikerah ke lokasi.

"Pemeriksaan lanjut menunjukkan mangsa hilang keseimbangan lalu terjatuh di kawasan rel LRT sebelum dilanggar sebuah tren.

"Proses pengalihan mayat dari lokasi kejadian sedang dilaksanakan dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan proses penyiasatan yang lancar," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Rapid Rail berkata perkhidmatan tren di Stesen LRT PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur digantung sementara susulan kejadian.

“Sebagai langkah keselamatan, pihak operasi telah menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada pihak polis, bomba dan ambulans yang sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.

“Perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi," katanya menerusi kenyataan.