SEORANG lelaki berusia 19 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu telah mengeluarkan reman terhadap suspek bermula Sabtu sehingga 28 Februari di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Kita juga sedang menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengesahan berhubung status orang kurang upaya (OKU) suspek," ujarnya memetik laporan Sinar Harian.
Terdahulu, mStar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan nyaris menjadi mangsa rogol ketika sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di sebuah masjid di Batang Kali pada pagi Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ditahan kes budak perempuan nyaris dirogol dalam masjid
Hantaran yang dikongsikan seorang pelayar di Facebook turut memuat naik beberapa keping gambar suspek dan video insiden tersebut yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan suspek yang memakai baju berwarna kuning dan berkopiah mengangkat mangsa yang solat bersendirian di saf kedua jemaah wanita.
Mangsa dibawa ke ruangan lain di masjid berkenaan sebelum dicabul.
Bagaimanapun, pelaku bertindak menghentikan perbuatannya dan melarikan diri meninggalkan mangsa.
Suspek kemudiannya berjaya ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan.