SUSPEK kes cabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, memiliki kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
Perkara tersebut disahkan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim pada Sabtu.
"Kita dapati dia (suspek) memang mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi," ujarnya memetik laporan Sinar Harian.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi daripada JKM untuk pengesahan berhubung status orang kurang upaya suspek.
Terdahulu, mStar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan nyaris menjadi mangsa rogol ketika sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di sebuah masjid di Batang Kali pada pagi Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak perempuan nyaris dirogol dalam masjid! Pelaku berkopiah rangkul, dukung mangsa sedang sujud solat Subuh
Hantaran yang dikongsikan seorang pelayar di Facebook turut memuat naik beberapa keping gambar suspek dan video insiden tersebut yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan suspek yang memakai baju berwarna kuning dan berkopiah mengangkat mangsa yang solat bersendirian di saf kedua jemaah wanita.
Mangsa dibawa ke ruangan lain di masjid berkenaan sebelum dicabul.
Bagaimanapun, pelaku bertindak menghentikan perbuatannya dan melarikan diri meninggalkan mangsa.
Suspek kemudiannya berjaya ditahan pada hari yang sama dan direman selama tujuh hari sehingga 28 Februari di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.