suria

Sah wanita Jepun maut jatuh bangunan isteri Ridzokumura - Polis

Polis sahkan wanita Jepun yang maut pada Jumaat adalah isteri usahawan Ridzokumura.

WANITA warga Jepun yang maut dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium merupakan isteri kepada usahawan dan pempengaruh yang dikenali sebagai Ridzokumura.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan kepada pemberita menerusi satu sidang media pada Selasa.

Hussein berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun polis akan menyiasat secara keseluruhan termasuk dari sudut jenayah.

"Walaupun mati mengejut, kita akan melihat sama ada wujud unsur jenayah, tindakan sendiri atau sebagainya.

"Jadi, saya minta orang ramai tidak memberi sebarang komen negatif terhadap kes ini tanpa mengetahui sebarang kesahihan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri usahawan Ridzuan Ridzokumura meninggal dunia

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan pihaknya sudah mengambil keterangan Ridzokumura atau Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, berhubung kes itu.

Untuk rekod, isteri pempengaruh itu yang dikenali sebagai Akiko Okumura meninggal dunia pada pagi Jumaat.

Pada hari sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat menerusi satu kenyataan memaklumkan seorang wanita warga Jepun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya, Selangor.

Jenazah wanita berusia 50-an itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di Subang Jaya pada pagi Sabtu.

Ridzokumura mendirikan rumah tangga dengan Akiko pada Februari 2009 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13 tahun. 

Artikel Lain