ANAK kepada Ahli Dewan Undangan (Adun) Gurun, Baddrol Bakhtiar dilaporkan meninggal dunia, awal pagi Rabu.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pentadbir laman sosial rasmi milik bekas pemain bola sepak profesional itu.
"Dukacita dimaklumkan anak bongsu YB Baddrol Bakhtiar telah Kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 3.15 pagi ini," tulisnya.
Difahamkan, jenazah Muhammad Darwisy yang berusia 12 bulan masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan akan dibawa ke Masjid Taman Ria, Sungai Petani.
Memetik laporan Sinar Harian, Baddrol berkata anak bongsunya yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung sejak lahir menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Resort Homes Cinta Sayang lebih kurang pukul 3.15 pagi.
Ujarnya, kejadian disedari isteri, Nur Izyan Mustafa Khalid, 37, ketika mahu memberi susu kepada anak bongsu mereka.
"Isteri saya terkejut mendapati mukanya berubah dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Saya kemudian menghubungi ambulans sebelum disahkan anak sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba selepas itu," katanya.
Jenazah dimandikan dan dikapankan di HSAH dan akan dibawa ke Masjid Al-Muttaqin Taman Ria untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa Ria untuk dikebumikan.