SEORANG wanita maut manakala anak lelakinya terselamat selepas kediaman mereka tertimbus akibat tanah runtuh, dalam kejadian di Kampung Lok Bonu, Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu pada awal pagi Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 4.32 pagi.
Menurut Komander Operasi PBK II KUP, Musa Kunjan, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 4.49 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik maut tertimbus tanah runtuh, seorang lagi selamat
"Berlaku hakisan tanah dan menyebabkan sebuah rumah tertimbus. Kediaman tersebut adalah jenis tidak kekal dengan keluasan 10x15 kaki mengalami kerosakan 100 peratus.
"Terdapat dua mangsa terlibat. Salah seorang mangsa wanita, 53 tahun yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan selepas pemeriksaan dilakukan.
"Manakala seorang lagi mangsa lelaki iaitu anaknya, 25 tahun, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan ketika kejadian, dua beranak berkenaan baru selesai bersahur sebelum tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat.
Perkara itu diceritakan seorang lagi anak mangsa yang berusia 39 tahun.
"Menurut adik, dia cuba keluar untuk memeriksa keadaan, tiba-tiba berlaku gegaran. Adik beritahu masa itu dia cuba menarik tangan ibu untuk keluar, namun gegaran sangat kuat dan terus tercampak.
"Rumah kami pun sudah bergerak beberapa meter dari lokasi asal," ujarnya dipetik Harian Metro.
Kata lelaki tersebut, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kilang yang terletak tidak jauh dengan rumah keluarganya.
Dia yang dihubungi sejurus selepas kejadian terus bergegas pulang sebelum cuba mencari ibunya dengan bantuan penduduk kampung.