suria

Leher dan kaki dijerut guna ‘cable tie’, mayat kakitangan kerajaan ditemukan terbaring di lantai pejabat

Mayat seorang kakitangan kerajaan ditemukan di lantai pejabat. -Gambar hiasan

SEORANG kakitangan Kementerian Kewangan di Putrajaya ditemukan tidak bernyawa di lantai pejabatnya dalam kejadian Rabu pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada pukul 10.56 pagi yang melaporkan penemuan seorang lelaki dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di dalam pejabat tersebut.

"Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bergegas ke lokasi kejadian. 

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa terbaring di lantai dengan leher dan kaki terjerut menggunakan cable tie (pengikat kabel)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa yang berusia 45 tahun merupakan kakitangan di Jabatan Perbendaharaan dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat," tambahnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini. 

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Hotline Polis Putrajaya di talian 03-88862222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Lain