PUNCA kematian seorang pegawai tribunal rayuan kastam yang ditemukan di bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Rabu, disebabkan jerutan ligatur di leher.
Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kes tersebut masih dikategorikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Menurutnya, proses bedah siasat bermula pagi Khamis dan selesai pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
"Proses bedah siasat dijalankan oleh pakar Patologi dari Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Serdang.
"Punca kematian disahkan tekanan leher akibat jerutan ligatur," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Leher dan kaki dijerut guna ‘cable tie’, mayat kakitangan kerajaan ditemukan terbaring di lantai pejabat
Terdahulu, dilaporkan seorang kakitangan Kementerian Kewangan di Putrajaya ditemukan tidak bernyawa di lantai pejabatnya dalam kejadian pagi Rabu.
Rusdi memberitahu, polis menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada pukul 10.56 pagi yang melaporkan penemuan seorang lelaki dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di dalam pejabat tersebut.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa terbaring di lantai dengan leher dan kaki terjerut menggunakan cable tie (pengikat kabel)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.