MEWAJIBKAN pelesenan untuk platform media sosial mungkin boleh membantu membanteras jenayah siber, termasuk judi dalam talian.
Bagaimanapun, pakar berpendapat pendekatan yang lebih menyeluruh perlu diambil untuk memastikan keselamatan digital lebih terjamin.
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Selvakumar Manickam, mencadangkan agar kerajaan bekerjasama lebih rapat dengan institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan pembayaran untuk menyekat transaksi berkaitan aktiviti judi dalam talian.
Beliau turut mencadangkan peningkatan sistem tapisan, Domain Name System (DNS) dan sekatan Internet Protocol (IP) bagi menghadkan akses ke laman web judi.
"App stores juga perlu lebih teliti dalam menapis aplikasi perjudian dan segera membuang sebarang aplikasi yang berjaya melepasi saringan awal," katanya.
Selvakumar turut menekankan kepentingan mendidik orang ramai tentang cara mengenal pasti dan mengelakkan laman web berisiko serta bahaya menggunakan Virtual Private Network (VPN) untuk melepasi sekatan akses.
Tambahnya, pelaksanaan lesen wajib media sosial yang dikuatkuasakan sejak Januari lalu dapat meningkatkan akauntabiliti platform, sekali gus membolehkan kerajaan menguatkuasakan peraturan dengan lebih berkesan.
"Kita kena bina sistem pertahanan yang kukuh dan menyeluruh, bukan sekadar bergantung pada satu lapisan perlindungan sahaja.
"Ini akan mengikat platform secara sah terhadap kandungan yang mereka hoskan, membolehkan pihak berkuasa bertindak secara rasmi terhadap pelanggaran yang berlaku.
"Namun keberkesanan sistem ini bergantung pada tahap penguatkuasaan yang ketat. Tanpa pemantauan rapi, tiada perubahan besar boleh dicapai sebab itu kawal selia kuat diperlukan," jelasnya.
Pada Februari lalu, laporan menunjukkan lebih 5,000 laman web judi dalam talian disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet sejak 2022 hingga 1 Februari 2025.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa sebanyak 5,025 laman web judi dan 224,403 hantaran berkaitan judi di media sosial telah dipadam.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,906 hantaran atau 93.14 peratus kes dipadam daripada Facebook sahaja. Ia menunjukkan platform ini sebagai hab utama iklan judi dalam talian," katanya di Dewan Rakyat pada 13 Februari.
Selvakumar turut menegaskan bahawa antara cabaran utama ialah kebolehan syarikat judi dalam talian menyesuaikan diri dengan cepat bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
"Jumlah besar bagi kandungan digital setiap hari seperti ribuan gambar dan video serta salinan buku (majalah) yang pelbagai, menjadikan proses penapisan lebih mencabar.
"Syarikat judi licik juga menggunakan taktik halus yang sukar dikesan. Tambahan pula, kebanyakan syarikat ini beroperasi di peringkat antarabangsa, menyukarkan tindakan undang-undang rentas sempadan," katanya.
Bagi menangani masalah ini, Fahmi menggesa penyedia platform untuk melabur dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan pengesanan kandungan berkaitan perjudian.
"Mereka juga perlu memudahkan pengguna melaporkan kandungan yang mencurigakan dan bertindak pantas terhadap laporan tersebut.
"Syarikat media sosial perlu sedar bagaimana algoritma mereka mungkin tanpa sengaja memperbesarkan penyebaran kandungan berbahaya dan segera menyesuaikannya untuk mengurangkan risiko bahan perjudian tersebar luas," tambahnya.
Selvakumar mencadangkan supaya kerajaan dan platform media sosial mewujudkan saluran komunikasi tetap serta menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu ini.
"Untuk benar-benar memahami masalah ini, perlu ada perkongsian data yang selamat dan saling menghormati, dengan keutamaan diberikan kepada privasi pengguna," katanya.
"Isu judi dalam talian ini ibarat permainan kucing dan tikus (dua pihak cuba mengalahkan satu sama lain), tetapi syarikat media sosial tidak boleh berdiam diri.
"Mereka kena lebih proaktif dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk sentiasa selangkah di hadapan," jelasnya.